Friday, February 3

Mimpi gua tentang mati

Tempohari gua bermimpi.

Dalam mimpi gua, gua bermimpi, gua diberitahu tarikh gua mati. Tarikh matinya gua itu tak lama lagi dari hari gua bermimpi. Jaga dari tidur gua terfikir panjang. Fikir pasal mimpi tadi.

Gua tak sakit. Gua takda penyakit. Takkan gua mati? Sekali gua terfikir, kalau sudah ajal, dalam tidur boleh mati. Gua jadi tak keruan. Seribu satu rasa menyelinap masuk dalam diri gua.

Gua tak puas lagi hidup. Gua tak capai lagi cita-cita gua. Gua belum bagi mak bapak gua bangga lagi. Gua tak bagi lagi cucu untuk mak bapak gua. Gua tak panjangkan lagi keturunan datuk moyang gua.

Gua ambil kamera tua gua. Gua ambil passport gua yang baru bercop 4 5 negara. Gua tenung dua-dua. Impian gua nak tengok dunia. Impian gua nak jadi jurugambar tersohor seantero dunia. Tak sempat gua nak kecap semua ni dalam masa yang gua ada sekarang.

Gua tatap gambar tunang gua. Rasa bersalah gua melengahkan majlis kami. Gua tatap pula gambar mak bapak gua, banyaknya dosa gua pada mereka. Air mata gua mengalir tak henti-henti.

Gua kemas kain baju. Barang-barang kenangan gua kemas sekali. Hari-hari terakhir gua, gua habiskan di kampung, tempat gua dilahirkan, tempat gua dibesarkan.

Semasa menunggu habisnya nyawa gua, gua jalan keliling rumah. Melihat buat kali terakhir tempat gua bermain, tempat gua berlari, tempat gua membesar, tempat gua belajar ABC, tempat gua mengenal alif ba ta. Gua kenang sepuas-puas sebelum gua pergi.

Sedang gua jalan, tawaf mengelilingi rumah empat lima kali, gua rasa sejuk pada kaki. Gua tengok hujung kaki gua sudah membiru; naik sikit demi sedikit birunya ke atas - ke buku lali - ke betis. Saat ini gua sudah longlai tidak bermaya.

Pantas ayah gua datang memapah. Gua panggil mak gua, gua panggil tunang gua, gua panggil adik beradik gua. Dalam linangan air mata, gua minta ampun maaf atas segala dosa-dosa gua pada mereka. Makan minum, yang telah jadi darah daging gua minta halalkan.

Bila biru kaki tadi sudah sampai ke leher, terasa makin sesak nafas ni. Dan bila sampai ke hidung, gua sudah tercungap-cungap mencari oksigen melalu mulut. Dan selepas itu pandangan gua gelap - seketika. Kemudian gua nampak mak,ayah, adik beradik,dan tunang gua menangis di sisi sebujur jasad kaku yang wajahnya seiras gua.

~

Gua terjaga. Berpeluh-peluh. Ni kali ke dua gua mimpi macam ni!