Friday, December 21

Sedangkan Lidah Lagi Tergigit.

Pagi itu, sesudah subuh keadaaan rumah gua jadi tegang.Isteri gua bersandar sambil menarik muka masam pekat. Gua dengan ego dan bersahaja menikmati nikotina murah yang gua beli cuma Ringgit Malaysia satu setengah di kedai Syida anak Gemulah Pak Din Dogol.

Ah, sebut pasal Syida ni, teringat gua kisah-kisah lama, dia ni dulu-dulu lawa, Lawa dia buat ramai tergila-gila. Gua juga tergolong dalam ramai-ramai itu, cuma gua tak tergila sangat sebab ramai makwe tergila dekat gua masa tu.

Lupakan pasal Syida. Nikotina gua sedut dalam-dalam sambil pejam mata. Asap gua hempus pekat-pekat. Isteri gua menjeling. Bila nikotina gua tinggal suku gua padam. Gua pergi dapur lalu goreng cekodok sebelas ketul. Air teh gua bancuh panas-panas lalu gua hidangkan.

Isteri gua senyum dan kami sarapan sama-sama. Ah, apalah sangat krisis kipas angin ni, gua mahu no 5, isteri  nak no 3. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.