Tuesday, July 24

Memori Ramadhan Gangster. 1



Hari tu hari pertama aku menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Aku perlu bangun awal untuk sahur, serta solat subuh. Aku dah berazam, untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, selain dari tekun belajar ( biarpon pada saat akhir) aku harus cukupkan solat lima waktu serta tidak tinggal puasa. Aku bertekad, kali ini aku betul-betul serius.

Pagi tu aku bangun awal. Dewan makan mula cerah jam 4.30 pagi. Aku bangun lalu terus mandi. Dingin air pagi buta cengkam kulit aku, cengkam tulang aku. Badan aku menggigil; bertindak balas kepada suhu dingin pagi itu.

Bagi sesiapa yang kurang arif dalam ilmu sains, suhu tubuh manusia ialah 37 darjah celcius, biarpon dalam apa-apa suhu persekitaran. Dalam keadaan sejuk, kontraksi otot-otot tubuh akan membuatkan badan menggigil, bagi menghasilkan haba supaya suhu badan tetap stabil.

Berbalik pada cerita asal aku, asrama aku letaknya di tepi hutan berbukit, sebab tu juga sejuknya lain macam. Biarpon di tepi hutan tebal, tiada bunyi ungka bersahut sahutan, cuma bunyi cengkerik menyanyi2 dari malam tak henti-henti. Bunyi-bunyi cengkerik inilah yang menjadi halwa telinga kami setiap malam.

Aku ada dengar cerita yang masa mula-mula sekolah ni buka, senang-senang saja nak tengok kancil keluar merayap.Tapi itu cuma cerita yang di sampaikan dari tahun ke setahun. Benarnya aku tidak tahu sejauh mana.Buletin Utama pon cerita dan beritanya melalut kelaut, inikan pula cerita macam ni yang cuma disampaikan dari mulut ke mulut.

Aku sarung baju melayu dan kain pelekat, lalu aku turun ke dewan makan bersama beberapa rakan. Kami beratur mengambil makanan. Muka Piah, pekerja dewan makan ini mengurangkan selera aku untuk bersahur Tapi oleh kerana tiada pilihan aku santap juga hidangan yang tak seberapa itu.

Selesai makan, aku cucuh rokok sebatang. Kawan-kawan aku pon sama. Time-time ni kami sudah mendapat lesen besar, tak perlu lagi sorok-sorok hisap rokok, tak perlu lagi cover line untuk hisap rokok. Cuma bila ada cikgu datang, kami akan sorok rokok, tanda hormat.

Bila azan mula berkumandang, cepat-cepat aku ke surau. Aku angkat takbir betul-betul di belakang imam, Ustaz Hairul Azam. Di sebelah aku Fairuz, salah seorang murid paling suci dalam sekolah aku.

~

Selesai kertas Bahasa Melayu, aku melangkah balik ke asrama. Perut aku berbunyi bunyi, aku tengok jam di dinding, baru jam 10.30. Aku baring di katil. Tiba-tiba aku ternampak Tok Mat membawa baldi yang berasap. Gidit, Mat Pet, Bewok, Gonjeng, dan Unta cucuk angin di belakang Tok Mat.

Aku tak sedap hati. Aku bangun lalu mengekori mereka. Aku lihat, mereka masing-masing memegang sepeket Megi. Ah, tak boleh jadi, aku berlari ke locker, mengambil sebungkus megi. Hari tu, jam 11 pagi, kami kenduri beramai-ramai makan megi dalam baldi.

Selesai makan megi, kami hisap rokok sambil berbual-bual mesra dan disulami hilai tawa gurau senda.