Tuesday, May 8

Aku ingat nak buat Short Film

Baru-baru ni aku terpikir satu cerita. Cerita ni elok buat sebagai filem. Tapi susah juga nak buat filem sejam setengah mahupon dua jam ni. Jadi lebih elok aku jadikan dia filem pendek.

Cerita aku dia mengisahkan seorang pemuda kampung yang berwawasan dan bercita-cita tinggi. Oleh kerana dia berwawasan, dan mempunyai cita-cita yang tinggi, dia perlu keluar dari kampung dan pergi ke kota bagi mengejar cita-citanya. Lagipon dia anak sulung, adiknya masih bersekolah darjah satu, jadi dialah yang kena ubah nasib keluarganya.

Jadi, pemuda ini pon nekad menggunakan wang yang disimpan sejak kecil untuk ke bandar bagi menggapai impiannya yang sudah lama tersemat. Pada satu hari bertolaklah dia ke Kuala Lumpur, sebuah kotaraya yang belum pernah dijejakinya.

Oleh sebab kali pertama menjejakkan kaki, dia tidak tahu selok belok hidup di kota. Nak dijadikan cerita satu hari dia terjumpa seorang makwe yang sangat cantik. Mereka berkenalan dan bermulalah bibit cinta mereka berdua.

Pemuda kampung yang naif ini makin hanyut dalam gelombang cinta. Cita-citanya entah kemana. Wang belanja makin habis dikikis. "Ah, tak mengapa, cinta makwe aku lagi bernilai dari wang ringgit" kata pemuda itu dalam hati.

Bila wangnya sudah habis, cinta makwe itu pon mula luntur. Pada satu hari, makwe tersebut minta putus dengan pemuda itu. Pemuda itu berang. Duitnya sudah habis. Cita-cita entah ke mana, cinta pon terputus juga. Oleh kerana tidak dapat menahan amarah yang marah, lalu pemuda itu menampar makwe itu berulang kaki.

Polis yang kebetulan lalu dikawasan itu terus menangkap pemuda itu. Kemudian pemuda itu dipenjara 10 tahun akibat kesalahannya menampar makwe yang cantik itu.

Semasa dalam penjara, pemuda itu insaf dan menyesal akan perbuatannya. Dia mula teringat wawasan dan cita-citanya.  Kali ini dia mula bertekad mahu keluar dari penjara itu. Dia mula mengorek lubang, sikit demi sedikit.

Pemuda itu betul betul nekad. Dia tak sanggup habiskan masa 10 tahun di dalam penjara. Sekarang tahun 2012, umurnya sudah menjangkau 24 tahun. Dia akan keluar tahun 2022, umurnya sudah 38? Mana mungkin dia mahu tunggu. 34 terlalu tua baginya untuk mencapai cita-cita. Jadi, korek terowong adalah satu jalan terbaik untuknya untuk meloloskan diri.

Pemuda itu mengorek tiap-tiap hari tanpa mengenal erti putus asa. Berkat usahanya yang gigih akhirnya dia berjaya juga mengorek sampai keluar. Dia betul-betul gembira. Usahanya berbaloi. Dia kemudiannya pulang ke kampung dengan menumpang sebuah lori sayur.

Sampai di depan rumahnya, dia melihat ada seorang remaja sedang membaca surat khabar di serambi rumah. "siapa gerangan anak muda ini?" bisik hatinya. Dia menghampiri remaja itu, lalu dia terbaca tajuk utama akhbar itu, 'MALAYSIA MUNCUL JUARA PIALA DUNIA 2022'.

Pemuda itu terkejut, lalu rebah ke tanah. Tamatlah filem pendek aku.

Ah! Cilaka! cerita aku ni jadi panjang berjela pula..